Isnin, 18 Julai 2011

Hilangnya Sebutir Permata (Lo’lo’ dalam bahasa arab bermaksud Permata) Allahyarhamah Dr. Lo' Lo’ Binti Datuk Mohd Ghazali. ~2 Ogos 1957 - 17 Julai 2011~.















Pada pukul 11.05 malam 17 Julai 2011, saya mendapat panggilan talipon dari seorang sahabat SIS memaklumkan pengesahan Allahyarhamah meninggal dunia di Hospital Selayang jam 10.13 malam tadi setelah beberapa tahun mengidap barah paru-paru. Saya memaklumkan pada kawan-kawan saya di wall-wall group fb dan wall fb saya berita tersebut. Setelah desas-desus tersebar di internet beberapa hari sebelumnya tentang konon Dr. Lo’lo’ telah meninggal dunia walhal beliau masih belum meninggal, sedangkan ketika itu Allahyarhamah masih boleh berbual dengan ahli keluarganya dan sehingga ke saat-saat akhir dikhabarkan beliau sering bertanya mengenai kawasan Parlimen beliau terutamanya isu Kampung Baru, Kuala Lumpur yang diperjuangkan beliau. Allahyarharmah sempat berpesan kepada petugas-petugas pejabat khidmat masyarakat Parlimen Titiwangsa agar terus menjalankan tugas melibatkan kepentingan penduduk. Allahyarhamah meninggal dunia di Hopital Selayang jam 10.13 malam tadi setelah beberapa tahun mengidap barah paru-paru.

Ketika saya tiba di Datuk Keramat pukul 1.35 pagi, suasana sedih dan suram menyelubungi dimana jenazah telah dibawa ke Masjid Al-Akram Datuk Keramat tengah malam tadi. Anggota keluarga termasuk suami Allahyarharmah, Dr Aminuddin Abdul Hamid Karim dan anak-anak allahyarahamah berada di samping jenazah Allahyarhamah, sempat saya menyampaikan salam takziah dan simpati dari pihak saya dan warga Alumni SISTA. Sejak tengah malam tadi, orang ramai tidak putus-putus mengunjugi jenazah Allahyarhamah yang disifatkan sebagai seorang yang sangat berdedikasi dalam menjalankan amanah sebagai wakil rakyat. Sukarelawan Pemuda Pas bertungkus lumus menjaga lalu lintas dan kawasan sekitar sejak tengah malam tadi bagi mengelakkan kesesakan di kawasan sekitar.

Suasana terus sedih dan suram menyelubungi ketika saya tiba sekali lagi pagi ini ketika sebelum solat jenazah di Masjid Al-Akram. Jenazah disolatkan di masjid tersebut jam 10.20 pagi tadi dengan dipimpin Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebelum dibawa ke tanah perkuburan, diiringi ribuan yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir terdiri daripada ahli keluarga, rakyat dan pemimpin parti politik menghadiri pengebumian ahli Parlimen Titiwangsa, Allahyarhamah Dr. Lo’lo’ Binti Mohd Ghazali di Tanah Perkuburan Islam Kampung Datuk Keramat pagi tadi. Ribuan rakyat mengiringi jenazah Allahyarhamah Dr Lo’lo’ ke Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat. Rata-rata mereka yang hadir tidak dapat menahan sebak setelah jenazah selamat dikebumikan jam 11.10 pagi.

Berbagai komen dan persepsi yang menziarahi meluahkan pandangan mereka yang saya dengar terhadap Allahyarhamah termasuklah didada blog dan akbar diantaranya Allahyarhamah Dr. Lo’lo’ diibaratkan sebagai permata yang cukup berharga dan seorang pejuang rakyat, seorang pemimpin yang baik selain berpidato secara berhemah di Dewan Rakyat dan bertanggungjawab, kematian beliau adalah satu kehilangan yang cukup besar kepada PAS terutamanya Dewan Muslimat kerana beliau diibaratkan sebagai permata yang cukup berharga dan seorang pejuang yang cukup tegas, gigih dan merupakan antara individu yang memainkan peranan besar untuk membolehkan wanita bertanding dalam pilihan raya mewakili PAS, Allahyarhamah adalah satu kehilangan besar dan jasa beliau kepada parti dan masyarakat akan terus dikenang, malah perjuangan beliau dalam isu tanah Kampung Baru akan terus kami perjuangkan, beliau adalah pemimpin yang sentiasa memperjuangkan hak rakyat, menjaga kebajikan rakyat, pemergian Dr Lo’ Lo’ akan terus dikenang, bukan sahaja pengorbanannya, malah leterannya diibarat sebagai seorang ibu dalam menjalankan tugasnya akan terus dirindui bukan hanya penduduk Parlimen Titiwangsa tetapi ahli dan penyokong PAS dan gagasan Pakatan Rakyat yang terasa kehilangan satu permata kerana masih terasa kata-kata rangsangan, nasihat dan motivasi yang disampaikan arwah dalam bentuk leteran dan beliau seperti sebutir permata yang berharga, beliau juga seorang pemimpin yang tegas, berpegang kepada prinsip dan sentiasa kental dalam memperjuangkan nasib rakyat walaupun berada dalam keadaan tidak sihat. 

Pada saya Allahyarhamah Dr Lo’lo yang saya temui semasa saya di alam persekolahan ketika adik beliau Mohsien Negara Bin Datuk Mohd Ghazali yang merupakan rakan sekolah saya di Sekolah Izzuddin Shah, Ipoh yang membawa saya pulang ke rumah beliau semasa cuti sekolah di Kg. Dato’ Ahmad Said, Manjoi, Ipoh terserlah ciri2 seorang kakak yang tegas dan perihatin dengan usia beliau dengan saya jarak 8 tahun, Allahyarhamah Dr Lo’lo yang merupakan anak perempuan bekas mufti Perak, Allahyarham Datuk Mohd Ghazali Bin Abdullah, yang dilahirkan di Kuala Kangsar pada 2 Ogos 1957, Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Jalan Conolly Ipoh, Sekolah Raja Perempuan Taayah Ipoh  pada tahun 1970-1972, Kolej Islam Kelang 1973-1976, Melanjutkan pengajian ke Universiti Kebangsaan Malaysia – Ijazah Pertama (Kedoktoran) , Adelaidea Alternative Medicine & Surgery – Acupunturist. Beliau giat aktif dalam Dewan Muslimat PAS tetapi sejak 8 Mac 2008 dan  banyak menumpukan perhatiannya ke atas kawasan Parlimen Tititwangsa yang dimenanginya, dengan menewaskan calon BN, Aziz Jamaluddin Mohd Tahir dengan majoriti 1,972 undi, memegang jawatan AJK Dewan Muslimat PAS Pusat, Ketua Dewan Muslimat Titiwangsa, Ketua Pengarah Al-Nisa’, AJK Kerja Pas Pusat, Exco Asian Federation Of Muslimyouth. beliau adalah Pengarah Eksekutif Pusat Perubatan Kohilal, aktif dengan pertubuhan NGO: KHIM, Yayasan Amal Malaysia, PPIM, PAPISMA, Persatuan Allergy & Aesthetic, Persatuan Hypertension, AFMY, ABIM, Al Khadeem, JIM, Alumni FPUKM, Alumni ALKIS, Alumni SISTA. Kali terakhir saya bertemu dengan beliau ketika pertemuan dengan penduduk  penjawat awam di Cochrane, sebelum pertemuan isu Kg. Baru, bila diajukan komen kepada beliau sikap beliau yang sering berleter, jawapan yang sama kita sering terdengar dari beliau ialah kalau kita tak berleter, dia orang tak buat kerja yang bermaksud leteran itu sangat bermakna untuk kita bekerja lebih kuat. Bagi saya Allahyarhamah Dr. Lo’lo merupakan satu kehilangan besar sebutir permata yang sangat bernilai dan sukar dicari ganti. Beliau adalah seorang pemimpin yang berprinsip, beliau bukan pemimpin yang hanya tahu bercakap, tapi beliau adalah pemimpin yang bercakap atas dasar fakta dan apa yang beliau mahu katakan akan dikaji terlebih dahulu. Seorang pejuang yang berilmu, apa yang beliau lakukan adalah demi rakyat bahkan semasa sakit pun beliau tetap gagahkan diri untuk bersama dengan rakyat, seorang pemimpin yang baik, tegas, berdisiplin dan sentiasa menghadapi cabaran dengan hati terbuka. Ibarat nama beliau Lo’lo yang bermaksud dalam bahasa arab ‘Permata’, beliau seperti sebutir permata yang berharga. Beliau telah pun berjaya menyambung perjuangan ayahnya Datuk Mohd Ghazali Abdullah, Pengerusi Muzakarah Ulama yang menubuhkan PAS pada tahun 1951.

Tiada ulasan: