Dedahan Punca Sebenar 13 Mei: Rancang Rampasan Kuasa oleh
Tun Razak
"Ketika orang ramai masih berhimpun untuk perbarisan
tersebut, pergaduhan berlaku di Kampung Baru berhampiran, di mana dua lori
orang Cina telah dibakar.
"Pada jam 7.15 petang, saya dapat lihat satu gerombolan
berkumpul seperti lebah di persimpangan Jalan Raja Muda dan Batu Road. Lebih
banyak kenderaan dipecahkan dan rumah kedai orang Cina dibakar.
"Pekedai Cina dan India di Batu Road telah bergabung
membentuk satu 'pasukan pertahanan kawasan' dengan bersenjatakan apa sahaja
yang sempat dicapai - parang, kayu, batang besi dan botol...
"Apabila kumpulan orang Melayu beredar, maka penduduk terbabit terus tertindak balas. Bahagian depan kedai dan kereta yang disyaki milik orang Melayu telah dipecahkan atau dibakar.
"Polis tiba kira-kira jam 9 malam tetapi tidak berkawal
di situ. Kemudian, trak yang membawa anggota Unit Simpanan Persekutuan (pasukan
pencegah rusuhan) dan Regimen Askar Melayu beredar dari situ..."
(Petikan daripada catatan wartawan Far Eastern Economic
Review, Bob Reece, mengenai apa yang disaksikan dengan matanya sendiri berlaku
pada 13 Mei 1969 selepas sekumpulan pemuda Melayu berkumpul di luar rumah
Menteri Besar Selangor, Datuk Harun Idris lewat petang hari berkenaan).
Sudah hampir empat dekad berlalu selepas tercetusnya rusuhan
kaum pada 13 Mei 1969
Bagaimanapun, apakah yang mencetuskan rusuhan paling buruk
dalam sejarah 50 tahun Malaysia, yang mengorbankan 196 nyawa (mengikut rekod
rasmi), masih menjadi rahsia, dan sehingga ini terdapat pelbagai versi
mengenainya.
'Versi rasmi' menyebut rusuhan tersebut berpunca daripada
tindakan provokasi penyokong pembangkang yang didominasi kaum Cina, yang
merayakan kejayaan mereka dalam pilihanraya umum yang menyaksikan Parti
Perikatan kalah teruk.
《Semuanya karut》
Bagaimanapun, pihak pembangkang telah menyangkal kebenaran
versi tersebut. Terdapat teori-teori lain yang mendakwa rusuhan itu telah
dirancang untuk menggulingkan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman.
Kekurangan maklumat awam mengenainya menjadi batu penghalang
bagi mereka yang ingin mendedahkan apa yang sebenarnya berlaku. Tetapi satu set
dokumen yang baru dideklasifikasikan di London, telah membuka peluang kepada
ahli sosiologi, Dr Kua Kia Soong untuk mencari kebenarannya.
Pada akhir tahun lalu, Pengetua Kolej New Era itu telah
mengambil cuti belajar selama tiga bulan untuk meneliti rekod dan dokumen di
Pejabat Rekod Awam di London mengenai tragedi 13 Mei yang telah
dideklasifikasikan selepas luputnya tempoh 30 tahun dokumen berkenaan dideklasifikasi
sebagai rahsia.
Hasil kajiannya ke atas dokumen yang dideklafisikasikan itu
- yang telah dikompilasikan dalam buku terbaru Dr Kua yang akan dilancarkan
Ahad ini - mendapati rusuhan 13 Mei itu bukanlah berpunca daripada keganasan
kaum, sepertimana yang telah digambar kepada rakyat Malaysia.
"Sejarah (rasmi peristiwa) 13 Mei penuh dengan
karut-marut, ia tidak mendedahkan apa-apa. Ia meletakkan kesalahan itu ke atas
parti pembangkang yang sebenarnya tidak benar, mereka bukan menjadi
puncanya," kata Dr Kua kepada malaysiakini dalam satu temubual baru-baru
ini.
"Buku saya itu menunjukkan bahawa pihak yang
bertanggungjawab adalah golongan kapitalis (dalam Umno), elemen-elemen dalaman
yang merancang dan melaksanakan pelan ini. Ada rancangannya berdasarkan kepada
mereka yang berkumpul di kediaman menteri besar (Selangor).
"Terdapat dokumen dan laporan risikan yang menunjukkan
perkara itu. Sejarah rasmi perlu mendedahkan kebenaran dan bukannya meletakkan
kesalahan kepada setiap orang yang sepatutnya tidak harus dipersalahkan,"
kata aktivis sosial dan pendidikan itu.
Dr Kua menegaskan bahawa peristiwa 13 Mei merupakan satu
'coup d'etat' atau rampasan kuasa terhadap Tunku oleh golongan kapitalis Melayu
yang muncul ketika itu - yang disokong oleh polis dan tentera - untuk merampas
kuasa daripada aristokrat lama untuk melaksanakan agenda baru Melayu.
《Plot menumbangkan Tunku》
Beliau berpendapat, rusuhan itu adalah perbuatan 'samseng
Melayu' yang disokong oleh ahli-ahli politik di belakang rancangan rampasan
kuasa tersebut.
Sebagai contohnya, kata beliau, "sekumpulan samseng
tiba-tiba muncul dari semua penjuru" pada 13 Mei untuk berkumpul di
kediaman Datuk Harun dan tindak-tanduk polis dan tentera yang boleh
dipersoalkan yang hanya berdiri dan memerhatikan sahaja apa yang sedang
berlaku.
Tambahnya, dokumen-dokumen itu juga menunjukkan, kurang
daripada seminggu selepas rusuhan tersebut, Timbalan Perdana Menteri ketika
itu, Tun Abdul Razak, yang mempengerusikan Majlis Operasi Negara, diberikuasa
penuh untuk mentadbir negara - satu petanda wujudnya komplot mengenainya.
Manakala perbincangan mengenai perancangan masa depan
telahpun dijalankan sebelumnya, termasuk Dasar Kebudayaan Negara (diumumkan
pada 1971).
Satu dokumen rahsia dari pejabat kabinet Britain yang dimuat
dalam buku tersebut, menunjukkan, tidak sampai seminggu selepas rusuhan itu
berlaku, Agensi Perisikan Pusat (CIA) dapat mengesan apa yang sedang dirancang
oleh Tun Razak - 'untuk memperkukuhkan ketuanan Melayu, meminggirkan kaum Cina
dan mengenepikan Tunku'.
Dr Kua turut mempersoalkan peranan anggota pasukan
keselamatan dalam peristiwa berdarah 13 Mei itu.
"Malah, ketika itu, kalangan diplomatik (juga
bertanya-tanya) mengapakah, pada hari rusuhan itu berlaku, Razak bertemu dengan
pegawai tertinggi polis dan tentera, tetapi mereka tidak berbuat apa-apa,"
katanya.
Lebih menarik lagi, kata Dr Kua, pasukan keselamatan
Malaysia adalah sebuah
pasukan yang berpengalaman luas sewaktu melancarkan
peperangan terhadap pengganas komunis antara tahun 1948 dan 1960 dan bereputasi
tinggi.
"Merekalah yang berjaya menghapuskan penentangan
komunis yang
membabitkan operasi yang lebih sukar daripada mengawal
rusuhan, tetapi mereka tidak dapat mengawal (rusuhan) pada 1969 selama
berhari-hari, berminggu-minggu," soalnya.
Ekoran itu, Dr Kua membuat kesimpulan: "Peristiwa 13
Mei adalah satu helah untuk merampas kuasa...saya bukanlah orang pertama yang
berkata bahawa ia adalah satu rampasan kuasa, tetapi saya menyediakan dokumen
yang menunjukkan bahawa ia adalah satu rampasan kuasa."
《Jumlah korban tidak diketahui》
Dokumen yang telah dideklafisikasikan itu termasuk
laporan-laporan yang dibuat oleh wartawan asing yang berada di Kuala Lumpur
pada masa itu, laporan kakitangan Pesuruhjaya Tinggi British yang memantau
insiden tersebut dan pelbagai lagi laporan sulit dari kalangan diplomat.
Ini dianggap pertamakalinya satu catatan lengkap mengenai
tragedi tersebut akan dapat ditatapi rakyat Malaysia, kerana banyak laporan
wartawan asing telah diharamkan di samping tiada akses terhadap dokumen
tempatan.
Bagaimanapun, apa yang tidak dapat dipastikan dalam buku
tersebut adalah satu lagi rahsia, iaitu jumlah sebenar korban tragedi tersebut.
Angka rasmi korban rusuhan 13 Mei adalah 196 orang, 180
cedera akibat senjatapi dan 259 lagi cedera kerana senjata lain, 9,143 orang
ditangkap dan 5,561 daripadanya didakwa di mahkamah, 6,000 kehilangan tempat
tinggal, dan sekurang-kurangnya 211 kenderaan dan 753 bangunan telah musnah
atau mengalami kerosakan.
Dokumen yang telah dideklasifikasikan dan dokumen
antarabangsa yang lain pada masa itu menganggarkan jumlah korban yang lebih
tinggi tetapi angka sebenarnya tidak diketahui, tetapi majoriti korban tersebut
dikatakan dari kalangan orang Cina.
Dr Kua berkata, beliau berharap dapat memecahkan mitos tersebut
melalui penerbitan bukunya.
"Iaitu rusuhan kaum akan berlaku bila orang Melayu
tidak merasa senang, itulah sebabkan mengapa kita perlukan Dasar Ekonomi Baru,
polisi tindakan afirmatif dan yang lain-lainnya, jika tidak orang Melayu tidak
merasa senang dan rusuhan akan tercetus.
"Ini adalah mitos pertama yang kita perlu uraikan
kerana dokumen-dokumen menunjukkan sesetengah mereka yang mencetuskannya
(tragedi 13 Mei) bersubahat dengan pihak polis dan tentera," katanya.
Mitos kedua, kata Dr Kua, ahli akademik dan ahli teori
majmuk yang memegang pandangan bahawa rusuhan akan berlaku secara semulajadi
dalam negara yang rakyatnya terdiri dari berbilang kaum.
Sebaliknya, kata beliau, orang Melayu, Cina dan India tidak
secara tiba-tiba mengambil keputusan untuk bergaduh sesama mereka.
"Ia tidak berlaku macam itu," tambahnya.
Siri peristiwa yang berlaku sewaktu rusuhan '13 Mei' telah
didokumen oleh Dr Kua Kia Soong dalam buku terbarunya bertajuk May 13:
Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969.
Kompilasi itu, yang berdasarkan kepada pelbagai laporan
asing dan laporan sulit pada masa itu - yang telah dideklafisikasikan baru-baru
ini dan boleh didapati di Pejabat Rekod Awam di London - yang dianggap sebagai
catatan yang boleh dipercayai berhubung tragedy tersebut.
Dr Kua menulis dalam bukunya itu bahawa keadaan sebenar
mengenai rusuhan kaum yang terburuk dalam sejarah negara itu sehingga ini tidak
diketahui oleh rakyat Malaysia.
Malah, katanya, versi rasmi mengenai tragedi itu penuh
dengan percanggahan dan maklumat yang tidak mencukupi yang boleh dipercayai.
Di bawah adalah petikan dan ringkasan kronologi peristiwa
rusuhan 13 Mei yang dipetik daripada buku Dr Kua itu:
10 Mei:
Parti Perikatan yang memerintah mengalami kekalahan teruk
dalam pilihanraya umum tetapi masih memperolehi majoriti mudah di Dewan Rakyat.
Perikatan kalah di Pulau Pinang kepada Gerakan; Kelantan kepada PAS dan menang
tipis di Perak dan Selangor.
Pada kedua-dua malam tersebut, pembangkang merayakan
kemenangan mereka. Satu perarakan besar parti Gerakan diadakan untuk
mengalu-alukan kepulangan pemimpin parti itu, V David yang menang kerusi
Parlimen di Pulau Pinang.
13 Mei:
MCA yang kalah teruk dalam pilihanraya umum itu, mengumumkan
ia akan menarik diri daripada menganggotai kabinet tetapi masih kekal dalam
Perikatan.
Satu laporan wartawan asing menunjukkan ada bukti bahawa ada
rancangan bagi pemuda yang digerakkan oleh elemen-elemen dalam Umno untuk
mengadakan perhimpunan di kediaman Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk
Harun Idris pada lewat petangnya. Satu perbarisan balas telah dirancang
diadakan walaupun tidak mendapat kebenaran pihak polis.
Apabila orang ramai masih berhimpun di perbarisan tersebut,
pergaduhan berlaku dekat Kampung Baru, di mana dua buah lori orang Cina telah
dibakar. Tragedi di Kampung Baru itu merebak dengan cepat ke serata tempat di
Kuala Lumpur.
Wartawan asing itu berpendapat perintah berkurung yang
dikenakan tidak adil kepada semua orang.
"Di jalan-jalan dekat Jalan Hale, saya dapat melihat
pemuda Melayu yang bersenjatakan parang dan buluh runcing berhimpun di kawasan
yang dapat dilihat dengan jelas oleh pasukan keselamatan yang berkawal di
persimpangan jalan. Manakala di Batu Road, sejumlah wartawan asing melihat
anggota Regimen Askar Melayu menembak ke dalam rumah-rumah kedai orang Cina
tanpa sebarang sebab.
Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman terus mengatakan bahawa
keganasan itu berpunca daripada tindak tanduk penyokong pembangkang selepas
keputusan pilihanraya diumumkan, manakala timbalannya, Tun Abdul Razak
menyalahkan pihak komunis.
14 Mei:
Rusuhan berterusan tetapi secara kecilan. Perintah berkurung
hanya ditarik balik di pelbagai kawasan secara berperingkat mengikut
waktu-waktu tertentu bagi membolehkan penduduk keluar membeli makanan. Pihak
polis telah mengerahkan semua anggotanya bertugas dan menyerahkan tugas
mengawal bahagian utara bandaraya kepada pihak tentera.
Polis berkata 44 orang terbunuh dan 150 lagi cedera pada
malam sebelumnya. Satu lagi laporan menunjukkan kebanyakan mangsanya adalah
orang Cina dan ia menyatakan sekurang-kurangnya 66 daripada 77 mayat di
hospital besar pada 14 Mei adalah orang Cina.
Percubaan kerajaan untuk menyalahkan komunis yang
mencetuskan rusuhan tersebut bagaimanapun tidak diambil serius oleh para
pegawai di Pesuruhjaya Tinggi British (BHC), yang berpendapat Tunku tidak
bersedia menyalahkan orangnya sendiri yang mencetuskan rusuhan tersebut, dan
tidak pula menyalahkannya kepada orang CIna "secara keseluruhannya".
15 Mei:
Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat. Majlis
Gerakan Negara yang diketuai oleh Tun Razak ditubuhkan. Tun Razak masih
bertanggungjawab kepada Tunku, tetapi semua kuasa di bawah Peraturan Darurat
diletakkan dalam tangannya.
Perintah berkurung itu ditarik balik buat sementara di Kuala
Lumpur pagi itu tetapi keadaan kembali buruk dan berlaku banyak pergaduhan di
sana sini. Perintah berkurung dikuatkuasakan semula tetapi bekalan makanan
makin berkurangan.
Penerbitan akhbar-akhbar tempatan telah digantung sehingga
peraturan penapisan digubal tetapi tiada usaha diambil untuk menyelia
laporan-laporan yang dihantar keluar oleh wartawan asing.
16 Mei:
Keadaan masih tegang di Selangor di mana kereta dan rumah
dibakar dan angka korban meningkat. Jumlah kematian meningkat kepada 89 orang
dengan lebih 300 lagi mengalami kecederaan. Perintah berkurung 24 jam
diteruskan di Selangor dan turut dikuatkuasakan di Melaka. Di Pulau Pinang dan
Perak, keadaan semakin baik walaupun perintah berkurung masih dikuatkuasakan.
Tunku membuat pengumuman mengenai penubuhan Pasukan
Pertahanan Negara yang akan dianggotai oleh sukarelawan. Menteri Penerangan
yang baru, Datuk Hamzah Abu Samah dan Tun Razak mengadakan siding akhbar di
mana mereka mengatakan punca rusuhan itu adalah peresapan komunis ke dalam
parti-parti politik.
Terdapat laporan mengenai perbuatan mencuri oleh anggota
tentera Melayu dan sikap mereka yang berat sebelah terhadap masyarakat Cina
Malaysia. Jumlah pelarian juga meningkat.
17 Mei:
Sepucuk telegram BHC, ia menunjukkan terdapat keraguan di
kalangan para pegawai British tentang angka rasmi mangsa rusuhan dan jumlah
kematian yang tinggi di kalangan orang Cina. Polis menganggarkan kira-kira 100
kematian manakala para pegawai British pula menganggarkan nisbah kematian orang
Cina berbanding dengan Melayu ialah kira-kira 85:15.
Tindakan menapis laporan akhbar telah mencetuskan kritikan
bukan sahaja dari kalangan media tempatan tetapi juga di kalangan anggota
diplomatik terutama apabila kenyataan rasmi tidak jelas dan tidak berwibawa.
Memorandum sulit BHC kepada Pejabat Asing dan Komanwel
(FCO), mengakui mengenai coup d'etat atau rampasan kuasa dan kuasa telah
berpindah bukan sahaja 'ke tangan orang Melayu' tetapi juga pasukan
keselamatan. Ekoran itu profesionalisme pasukan keselamatan dipersoalkan.
BHC juga mencatatkan bahawa di kalangan pasukan keselamatan,
Unit Simpanan Persekutuan - yang pada masa ini mempunyai anggota pelbagai kaum
- lebih adil dan tidak bersikap berat sebelah. Manakala anggota Melayu pula
bersikap diskriminasi ketika menguatkuasakan perintah berkurung.
"Diskriminasi itu berlaku, sebagai contohnya, tidak
menguatkuasakan perintah berkurung di kawasan Melayu (Kampung Baru) di mana
orang Melayu yang bersenjatakan parang, dsb, terus bergerak bebas, dan ada yang
menyelinap keluar dan menyerang orang Cina di luar kawasan tersebut. Di kawasan
orang Cina, perintah berkurung dikuatkuasakan secara ketat.
18 Mei:
Tunku memperjelaskan kenyataan awalnya bahawa kekacauan itu
dicetuskan oleh komunis, dengan meletakkan kesalahan itu kepada
"anasir-anasir jahat". Beliau juga mengumumkan penangguhan
pilihanraya Sarawak dan sekatan terhadap pergerakan wartawan asing diteruskan.
Keadaan masih belum pulih di beberapa kawasan di ibu Negara.
19 Mei:
Tidak sampai seminggu selepas berlaku rusuhan tersebut,
kuasa pemerintahan telah diserahkan kepada Tun Razak - menunjukkan adanya komplot
melakukan rampasan kuasa.
"Hubungan sebenar antara Tun Razak dengan Tunku adalah
tidak jelas. Di khalayak awam, Tun Razak berkata beliau bertanggungjawab terus
kepada Tunku tetapi di belakangnnya, beliau menyatakan sebaliknya. Ini mungkin
bermakna, telah bermula proses pelepasan jawatan Tunku sebagai Perdana Menteri".
Dilaporkan terdapat kira-kira 10,000 pelarian. Media
tempatan dibenar diterbitkan dengan tapisan manakala pas perintah berkurung untuk
wartawan asing ditarik balik. Beberapa ahli politik pembangkang telah ditahan.
20 Mei:
Dalam satu mesyuarat, Pesuruhjaya Tinggi Australia telah
mencadangkan supaya pemimpin pembangkang diberi peranan sebagai pengaman,
tetapi ditolak oleh Tun Razak dan Tan Sri Ghazali Shafie. "Mereka
menganggap pemimpin pembangkang akan menggunakan peluang itu untuk kepentingan
politik mereka sendiri."
Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia meneruskan program
memberi makanan harian kepada para pelarian di pelbagai tempat dan lebih 5,000
menerima bekalan makanan.
21 Mei:
Statistik rasmi mangsa korban ketika itu adalah seramai 137
orang (18 Melayu), 342 cedera, 109 kenderaan dibakar, 118 makanan musnah dan
2,912 orang ditahan, sebahagian besarnya kerana melanggar perintah berkurung.
23 Mei:
Dokumen yang dideklasifikasikan itu mendedahkan anggota
tentera Melayu bukan sahaja baik dengan samseng Melayu tetapi juga melepaskan
tembakan sembarangan ke arah rumah kedai orang Cina ketika mereka meronda di
kawasan bandaraya.
"Ketika ditanya oleh wartawan asing mengenai laporan
berlakunya diskriminasi kaum itu, Tun Razak menafikan semuanya. Ekoran itu, pas
perintah berkurung yang dikeluarkan kepada wartawan asing ditarik balik dan
mereka diarahkan tidak keluar arumah "demi keselamatan diri mereka".
Laporan seorang wartawan asing menunjukkan samseng-samseng
Melayu sangat dibenci oleh penduduk Melayu yang mematuhi undang-undang di
Kampung Baru.
Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Tun Dr Ismail membayangkan
bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri akan dipinda pada masa depan "untuk
bertindak balas terhadap taktik komunis". Diumumkan 3,699 telah ditahan
sepanjang krisis tersebut dan 952 adalah anggota kongsi gelap.
24 Mei:
Keamanan dipulihkan di Kuala Lumpur dan suasana di bandaraya
juga semakin baik. Orang ramai kembali bekerja (di luar waktu perintah
berkurung). Perintah berkurung itu masih dikuatkuasakan (dari jam 3 petang
hingga 6.30 pagi hari berikutnya). Kerajaan tidak bersedia untuk mengakui
bahawa pemuda Melayu yang bersenjatalah yang mencetuskan kekacauan tersebut.
27 Mei:
Tunku amat marah dengan spekulasi wartawan asing mengenai
kedudukannya yang dikatakan semakin lemah dan seterusnya mengarahkan setiausaha
sulitnya supaya menghantar nota bantahan kepada BHC.
28 Mei:
Satu laporan sulit BHC kepada FCO pada hari ini menyifatkan
percubaan kerajaan untuk menyalahkan komunis sebagai pencetus rusuhan tersebut
sebagai satu usaha untuk menjustifikasikan kuasa authoritarian yang baru.
Jun:
Keadaan kembali terkawal tetapi masih berlaku kekacauan di
sana sini. Laporan BHC menegaskan keganasan berlaku lagi di satu kawasan di
Kuala Lumpur pada malam 28 dan 29 Jun, di mana beberapa buah rumah telah
dibakar dan lima orang terbunuh dan 25 lagi cedera. Beberapa kekacauan yang
berlaku pada penghujung bulan Jun juga membabitkan kaum India.
Julai:
Berlaku satu lagi kekacauan di mana seorang anggota polis
terbunuh tetapi pihak polis bertindak segera mengawalnya supaya tidak merabak ke
tempat lain di Kuala Lumpur.
Pendirian tegas Tun Ismail dalam mengarahkan pasukan
keselamatan bertindak tegas "tanpa memilih bulu' terhadap mana-mana
kumpulan dan pengumuman Tunku mengenai penubuhan Jawatankuasa Muhibbah Negara
yang dianggotai ahli politik dari semua parti politik, telah membantu
mengurangkan rasa takut di kalangan rakyat.
Tun Ismail juga mengumumkan bahawa 8,114 telah ditahan
sehingga Mei, terdiri daripada mereka "dari semua kaum-kaum utama".
Daripada jumlah itu, 4,192 telah didakwa di mahkamah, 675 dibebaskan dengan
ikatjamin, 1,552 dibebaskan tanpa syarat dan ,695 dikena tahanan pencegahan.
Keadaan di Semenanjung kembali baik semula tetapi tahap
ketegangan masih tinggi di kawasan sensitif di Melaka, Perak and Selangor.
Ketegangan semakin pulih tetapi menjadi panas
semula ekoran pemecatan Dr Mahathir Mohamad daripada Jawatankuasa Pusat Umno pada
12 Julai dan Tunku memperolehi semula kuasa. Mahasiswa Melayu menghantar
petisyen menuntut Tunku meletakkan jawatan dan mengadakan demonstrasi di
kampus.
Itu dari penulisan Dr. Kua Kia Soong, manakala dari perspektif pengetahuan saya sendiri sebagai penulis blog ini pula dalam pilihan raya umum itu, Parti Perikatan yamg dianggotai
oleh UMNO-MCA-MIC telah mengalami kekalahan yang amat teruk. Walaupun parti
campuran ini memperoleh 95 kerusi berbanding 89 kerusi dalam pilihan raya yang
lain, ini hanya merupakan 66% daripada Dewan Rakyat yang kini telah
diperluaskan. Dengan kata yang lain, Parti Perikatan telah hilang majoritinya
buat pertama kali dalam Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan. Bagaimanapun,
ini tidak merupakan satu masalah yang besar disebabkan parti campuran ini hanya
memerlukan lagi seorang sahaja daripada parti pembangkang ataupun calon bebas
untuk mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan oleh Perlembagaan untuk
meneruskan pemerintahan. Jumlah undi yang diperoleh oleh Parti Perikatan juga
jatuh daripada 58.5% pada tahun 1964 ke 49.3% dalam pilihan raya ini, iaitu
satu penurunan sebanyak 15.7%.
Pada keseluruhannya, parti-parti pembangkang memenangi 50.7%
daripada jumlah undi, serta 49 kerusi dalam Dewan Rakyat. Parti Gerakan Rakyat
Malaysia (Gerakan) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang berkempen atas
manifesto yang menentang hak istimewa Bumiputera yang ditetapkan oleh Artikel
153[1], [2] dalam Perlembagaan Malaysia memperoleh kenaikan undi yang utama.
Gerakan, DAP, dan Parti Progresif Rakyat (PPP) menang 25 buah kerusi dalam
Dewan Rakyat, manakala PAS menang 12 kerusi.
Selepas keputusan pilihan raya diumumkan, Gerakan dan DAP
mengadakan perhimpunan kemenangan mereka di ibu negara, Kuala Lumpur pada 12
Mei tetapi perhimpunan itu menjadi hiruk-pikuk, dengan ahli-ahli menjerit
julukan-julukan perkauman terhadap orang-orang Melayu yang berada di tempat
perhimpunan ini. UMNO bertindak balas dengan perhimpunan sendiri pada 13 Mei,
tetapi perhimpunan ini kemudian merosot menjadi rusuhan besar-besaran. Rusuhan
ini kini dikenali sebagai Peristiwa 13 Mei.